Masalah: Bolehkah Non Muslim Berada Di Dalam Masjid?

Dipetik daripada al-ahkam online [cyberfeqh]

Kembali ke artikel

Baru-baru ini sebagaimana yang kita semua maklumi bahawa pihak Parti Alternatif telah mengadakan rapat umum untuk menyerahkan memorandum kepada Raja Yang Dipertuan Agong Malaysia. Perhimpunan berkenaan dibuat di dalam Masjid Negara terdiri dari pelbagai kaum dan agama. Selepas perhimpunan tersebut ada sebahagian orang yang mempertikaikan tindakan pihak Parti Alternatif kerana membawa non muslim masuk ke dalam masjid. Mereka mengatakan ini mencemarkan masjid. Saya sendiri tidak tahu apakah benar pihak Parti Alternatif benar-benar telah membawa masuk non muslim ke dalam masjid ataupun tidak.. Cuma persoalannya ialah, bagaimana jika mereka benar-benar telah membawa masuk non muslim ke dalam masjid? Apakah hukumnya menurut Islam? Diharap pihak al-Ahkam online dapat memberi penjelasan serba sedikit mengenainya. Sekian Wassalam.

Jawab Alhamdulillah, inilah jawapan yang dipohon: Sebagaimana yg telah kita semua maklum, bahawa masjid bukanlah hanya berfungsi sebagai tempat peribadatan semata-mata. Tetapi ia adalah lebih dari itu lagi. Ia juga merupakan tempat untuk menjana tenaga dan pemikiran umat Islam dan rakyat untuk memajukan diri, untuk melepaskan diri dari sebarang belenggu yang mematikan langkah umat atau apa sahaja yang dapat dilihat sebagai membawa manfaat dan kebaikan untuk umat ini. Masalah: Bolehkah dibenarkan non muslim masuk ke dalam masjid?

Jawab: Di dalam kitab-kitab feqh mazhab Syafi'i ada menyebutkan berkenaan masalah ini. Kami nukilkan sebahagian darinya. Syeikhul Islam Zakaria al-Ansari menyebutkan: [Diharamkan dengan sebab janabah (hadas besar) ialah apa yang diharamkan dengan sebab hadas kecil, diam seorang muslim di dalam masjid dan membaca al-Quran dengan niat membaca al-Quran.] (Lihat: Syeikhul Islam Zakaria al-Ansari, Manhaj al-Tullab Bi Hamisy Fathul Wahhab, vol. 1, hal. 18) Ia bermaksud, yang diharamkan duduk diam di dalam masjid adalah ke atas orang Islam yang sedang dalam keadaan berjunub sahaja. `Diam' bermaksud berada di dalam masjid samada duduk, berdiri, baring ataupun mundar-mandir.

Al-Khatib al-Syarbini menyebutkan antara perkara yang diharamkan ketika hadas besar ialah: [Diam atau mundar-mandir di dalam masjid bagi orang Islam selain Nabi s.a.w. tanpa ada apa-apa keuzuran.] (Lihat: Al-Khatib al-Syarbini, Mughnil Muhtaj, vol. 1, hal. 71) Beliau telah menjelaskan tentang maksud 'bagi orang Islam': [Dan terkecuali dengan perkataan 'bagi orang Islam', ialah orang kafir. Maka sesungguhnya mereka boleh diam di dalam masjid atas pendapat yang ashah (kuat) yang disebutkan di dalam kitab al-Raudhah dan asalnya. Alasannya ialah kerana mereka tidak beranggapan (mengi'tiqadkan) keharaman berbuat demikian. Memang, diharamkan perempuan kafir yang haidh jika dikhuatiri akan mengotorkan masjid, samalah hukumnya sebagaimana perempuan Islam.

Tidak boleh orang kafir memasuki masjid sekalipun yang tidak berhadas besar kecuali jika disana terdapat hajat/keperluan berbuat demikian seperti mahu masuk Islam, mendengar al-Quran.

Tidak boleh jika tiada hajat seperti hanya untuk makan, minum, sekalipun dibenarkan oleh orang Islam untuk memasukinya, kecuali jika terdapat permusuhan.] (ibid.)

Penjelasan yang agak mirip ibaratnya ialah apa yang dikatakan syeikh Muhamad Arsyad bin Abdullah al-Banjari: [Adapun jika ada yang junub itu kafir maka tiadalah haram atasnya berhenti di dalam masjid dengan syarat jika memberi izin akandia orang Islam yang mukallaf atau diperoleh barang yang berdiri pada tempat izinnya dan menyeru hajatnya kepada masuk ke dalam masjid kerana bahawasanya ia tiada mengi'tiqadkan haramnya. Maka jika tiada ia yang demikian itu maka tiada harus baginya masuk ke dalam masjid dan jika tiada ia junub sekalipun] (Lihat: syeikh Muhamad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, Sabilul Muhtadin, vol. 1, hal. 110)

Kesimpulan: 1. Non muslim yang berjunub (apatah lagi jika tidak berjunub) tidak diharamkan memasukki masjid dengan syarat: - Mendapat izin dari orang Islam yg mukallaf - Ada keperluan untuk memasukki masjid 2. Jika tidak memenuhi syarat di atas, maka tidak dibenarkan masuk sekalipun tidak dalam keadaan berjunub. Masalah: Bagaimana jika mereka benar-benar telah membawa masuk non muslim ke dalam masjid? Apakah hukumnya menurut Islam? Jawab: Jika ia memenuhi syarat-syarat di atas, maka hukumnya dibenarkan. Jika tidak adalah diharamkan. Wallahu a'lam.

Kembali ke atas