Masalah imam tidak baca bismillah
Dipetik daripada al-ahkam online [cyberfeqh]
Saya mohon maaf minta bantuan ustadz, kiranya ustadz dapat menjelaskan dengan disertai nash Al-Quran ataupun Al-Hadits tentang para imam di Masjidil Haram Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah tidak menzahirkan bacaan bismillah pada surat Al Fatihah sewaktu menjadi Imam shalat Magrib ataupun Isya serta Subuh maupun pada shalat Jum'at dan Hari Raya yang selalu kita saksikan pada tayangan tv. Atas penjelasan ustadz saya mengucapkan terima kasih.
Jawab Alhamdulillah, inilah jawapannya: Kita dapat melihat, bahkan kadangkala mengikut imam di dalam sembahyan jahr tidak membaca bismillah pada awal fatihahnya. Oleh kerana kita di Asia Tenggara adalah majoriti penganut mazhab Syafi'i maka perkara imam tidak membaca Bismillah adalah sesuatu yang aneh kepada kita. Kita adakalanya tertanya-tanya apakah boleh begitu? Bagaimana dengan sembahyang kita ini sebagai makmum, apakah sah? Mazhab apakah mereka ini? Apakah tidak membaca bismillah itu ada diajarkan oleh al-Quran dan al-Sunnah Rasulullah s.a.w.? Malahan tidak kurang juga ada sebahagian dari kita yang mengulang sembahyang sekali lagi setelah bermakmumkan imam yang tidak membaca Bismillah. Apakah tindakan begitu wajar? -------- Kami akan cuba membantu semampu mungkin agar saudara yang bertanya dan pengunjung aL-AHKAM online dengan mudah memahami masalah ini. Dan hanya ALlah sahaja yang dapat memberi faham. Pendapat mazhab empat mengenai bacaan basmalah Masalah: Bolehkah dijelaskan mengenai pendapat mazhab empat mengenai masalah basmalah pada fatihah di dalam sembahyang. Jika boleh sertakan dengan dalil-dalilnya. Jawab: Mazhab yang empat ialah Hanafi, Maliki, Syafi'i dan Hanbali. Di antara empat mazhab ini dapatlah kita bahagikannya kepada dua bahagian. Pertama: Mazhab Syafi'i, mereka berpendapat bahawa Basmalah itu wajib dibaca pada awal fatihah di dalam sembahyang. Kata mereka Basmalah merupakan sebahagian dari ayat surah al-Fatihah. Kedua: Tiga mazhab selain dari mazhab Syafi'i, iaitu Hanafi, Maliki dan Hanbali.
Mereka ini berpendapat bahawa Basmalah tidak diwajibkan, dengan maksud tidak perlu membaca bismillah pada awal fatihah di dalam sembahyang sebagaimana yang kita lakukan.
Mazhab Syafi'i: Menurut al-Imam al-Nawawi di dalam Minhaj al-Thalibin: [Dan Basmalah itu adalah sebahagian dari al-Fatihah.] (Lihat: Imam Abu Zakariya bin Syaraf al-Nawawi, Minhaj al-Thalibin Bihamisy Mughnil Muhtaj, vol. 1, hal. 157) Syeikh Muhamad al-Khatib al-Syarbini di dalam komentarnya mengenai perkataan al-Nawawi di atas: [Basmalah itu adalah satu ayat dari surah al-Fatihah. Hujah dakwaan ini dapat dilihat pada riwayat yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. mengira al-Fatihah itu tujuh ayat, dan mengira Bimillahir Rahman al-Rahim itu salah satu ayat dari al-Fatihah. Ia telah diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam tarikhnya. Dan diriwayatkan oleh al-Daruquthni dari Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda: "Apabila kamu membaca Alhmadulillah (al-Fatihah), maka bacalah oleh kamu akan Bismillahir Rahmanir Rahim. sesungguhnya ia adalah Ummul Quran (ibu al-Quran) dan al-Sab'u Mathani. Bismillahir Rahmanir Rahim adalah salah satu dari ayat surah al-Fatihah." Dan diriwayatkan dari Ibnu Khuzaimah dengan sanad yang sahih dari Ummu Salamah: "Bahawasanya Rasulullah s.a.w. mengira Bismillahir Rahmanir Rahim itu satu ayat. Dan Alhamdulillah (sehingga akhir al-Fatihah) itu enam ayat.] (Lihat Syeikh Muhamad al-Khatib al-Syarbini, Mughnil Muhtaj, vol. 1, hal. 157) Demikian pendapat dari mazhab Syafi'i dengan disertakan dalil-dalilnya sekali.
Mazhab Maliki: Menurut mazhab Maliki membaca Basmalah di dalam sembahyang pada permulaan al-Fatihah adalah makruh hukumnya. Di dalam kitab al-Feqh Alal Mazahibil Arba'ah mengatakan: [Mazhab Maliki berkata: Makruh membaca Basmalah di dalam sembahyang fardu, samada sembahyang sirr (Zohor & Asar) atau sembahyang jahr (Subuh, Maghrib & Isyak), kecuali jika orang yang bersembahyang itu berniat mahu keluar dari khilaf ulamak. Ketika itu dia hendaklah membaca Basmalah pada awal al-Fatihah, dan disunatkan secara sirr. Jika dibaca secara jahr, makruh hukumnya. Manakala dalam sembahyang sunat, maka dibolehkan orang yang bersembahyang itu membaca Basmalah ketika membaca al-Fatihah.] (Lihat: Abdul Rahman al-Juzairi, al-Feqh Alal Mazahibil al-Arba'ah, vol. 1, hal. 257) Mazhab Hanafi: Mereka tidak mewajibkannya. Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan: [Basmalah di sisi Hanafiyah. Dan, basmalah bukanlah satu ayat dari al-Fatihah dan bukan juga satu ayat dari surah-surah lain kecuali surah al-Naml, iaitu pada pertengahan surah berkenaan. Ini kerana terdapat di dalam hadis Anas r.a., katanya: "Aku bersembahyang bersama Rasulullah s.a.w., ABu Bakar, Umar dan Usman r.a. Aku tidak mendengar salah seorang dari mereka membaca Bismillahir Rahmanir Rahim. (HR Muslim) Tetapi orang yang bersembahyang bersendirian bolehlah membaca Bismillahir Rahmanir Rahim bersama al-Fatihah pada setiap rakaat secara sirr, sebagaimana menngucapkan Amin secara sirr juga. Oleh itu Basmalah dan ucapan Amin hendaklah diucapkan secara sirr.] (Lihat: Dr Wahbah al-Zuhaili, al-Feqh al-Islami Wa Adillatuh, vol. 1, hal. 646) Mazhab Hanbali: Menurut mazhab Hanbali membaca Basmalah pada fatihah di dalam sembahyang adalah sunat. Berikut ini saya nukilkan dari kitab mazhab Hanbali al-Raudh al-Murbi': [...Kemudian sunat membaca Basmalah dengan ucapan Bismillahir Rahmanir Rahim. Ia adalah satu ayat dari ayat-ayat al-Quran yang diturunkan sebagai pencerai antara surah-surah selain dari surah Bara'ah (Taubah). Pada surah Bara'ah dimakruhkan membaca Basmalah. Hendaklah membaca Iftitah, Tawa'uz (A'uzubillahi Minasy Syaithanir Rajim) dan membaca Basmalah secara sirr (perlahan). Jika di luar sembahyang, boleh memilih samada mahu membaca Basmalah secara jahr (kuat/nyaring) ataupun secara sirr. Dan Basmalah itu bukanlah sebahagian dari al-Fatihah. Basmalah sunat diucapkan pada semua pekerjaan yang penting.] (Lihat syeikh Mansur bin Yunos al-Bahuti, al-Raudh al-Murbi', hal. 69
Kesimpulan: Mazhab Syafii mengatakan Basmalah itu wajib dibaca pada permulaan fatihah di dlm sembahyang. Pada anggapan mereka Basmalah adalah salah satu ayat dari al-Fatihah. Mazhab tiga yang lain (Hanafi, Hanbali dan Maliki) mengatakan tidak wajib. Mereka beranggapan bahawa Basmalah bukan satu ayat dari al-Fatihah. Hanafi dan Hanbali mengatakan sunat dibaca secara sirr, sedangkan Maliki mengatakan makruh membaca basmalah melainkan jika bertujuan mahu keluar dari khilaf ulamak. Sekian. zain y.s.