fidyah

Masalah fidyah kelewatan qadha puasa.

Dipetik daripada al-ahkam on-line [cyberfeqh]

Kembali ke artikel

Boleh ustaz jelaskan tentang fidyah kerana kelewatan qadha' puasa?

Jawab Alhamdulillah, inilah jawapannya, Dasar fidyah ialah firman Allah Taala: "..Dan wajib atas orang yang tidak berdaya berpuasa (kerana tua dsbnya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.." (al-Baqarah:184) Hukum fidyah: Hukumnya adalah wajib berdasarkan firman Allah taala di atas. Jumlah fidyah yang wajib dibayar Jumhur ulamak mengatakan bahawa fidyah adalah sebanyak sau cupak makanan asasi di negeri tempatnya tinggal, untuk setiap hari puasa yang ditinggalkan.

Sebab-sebab Fidyah:

1. Para ulamak bersepakat mengatakan bahawa orang yang tidak berdaya mengerjakan puasa, adalah wajib membayar fidyah. Seperti orang tua yang lemah dan sudah tidak mampu lagi untuk berpuasa. Selain dari ayat al-Quran di atas, Ibnu Abbas ada menjelaskan bahawa perkara ini adalah satu rukhsah (keringan) dari ALlah Taala.
2. Para ulamak juga bersepakat mengatakan bahawa orang yang menderita sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh juga diwajibkan membayar fidyah. Dia tidak lagi diwajibkan berpuasa. Dasarnya ialah firman Allah Taala: "..Dan Ia tidak menjadikan kamu menganggung sesuatu keberatan dan susah oayah dalam perkara agama.." (Al-Hajj: 78)
3. Bagi perempuan yang hamil atau menyusukan anak yang bimbangkan keselamatan anaknya, dia dibenarkan berbuka. Juga diwajibkan mengqadha' puasanya itu. Dan.. Menurut jumhur ulamak, dia juga diwajibkan membayar fidyah untuk setiap puasa yang ditinggalkannya. Ulamak Hanafi berpendapat sebaliknya, di mana perempuan di atas tidak perlu fiidyah. Masalah: Jika khuatirkan keselamatan diri sendiri. Dalam masalah ini, hanya wajib qadha' sahaja, tidak fidyah. Inilah pendapat semua ulamak. Dalilnya ialah ayat al-Quran di atas.
4. Mereka yang lewat mengqadha'kan puasa Ramadhan, sehingga datang Ramadhan berikutnya juga diwajibkan fidyah. Ini adalah pendapat Jumhur ulamak. Sedangkan Hanafi, tidak berpendapat begitu. Mereka berpendapat tidak perlu fidyah. Dan jika kelewatan qadhak puasa itu kerana uzur, tidak wajib fidyah. Masalah: Apakah fidyah bertambah dengan pertambahan tahun? Menurut pendapat Ashah (terkuat) Syafi'i, ya bertambah dengan pertambahan tahun. Alasan mereka ialah, kewajipan yang berbentuk harta tidak boleh disekalikan (jamak/himpunkan sekaligus). Maliki dan Hanbali berpendapat tidak berganda dengan pertambahan tahun. Mereka menyamakannya dengan hukuman hudud yang dikenakan sekaligus.

Kembali ke atas